Madu kelulut antara
madu yang kian popular dalam kalangan penggemar madu. Kandungan madu kelulut
ini sangat tinggi dengan komposisi antiseptik, antimikrobial, anti kanser, anti
radang, ejen penyembuhan luka dan pertahanan dari fungsi sel eritrosit.
Komposisi dalam madu
kelulut telah terbukti lebih berkhasiat dari segi perubatan jika dibandingkan
dengan jenis-jenis madu lain. Kelebihan pada madu kelulut inilah yang melonjak
permintaan terhadapnya sehingga mempunyai nilai tinggi dan berpotensi dijadikan
sumber perniagaan.
Malah harga madu
kelulut boleh mencecah sehingga ke ratusan ringgit bergantung kepada tahap
kualiti madu serta kaedah pemprosesannya. Biasanya lebah kelulut terdapat di
negara beriklim tropika seperti Malaysia, Indonesia, Afrika, India, Brazil dan
Amerika Selatan kerana lebah ini tidak mampu bertahan dalam cuaca terlalu panas
atau terlalu sejuk.
Lebah kelulut juga mempunyai kelebihan untuk bertahan dalam udara yang
mempunyai tahap kelembapan yang tinggi. Tanaman yang disukai lebah kelulut
adalah dari pokok buah-buahan seperti rambutan, mangga, manggis, belimbing madu
dan durian. Lebah kelulut juga amat menggemari pokok-pokok bunga seperti bunga
air mata pengantin, bunga selasih, bunga markisa dan bunga biden.
Pokok liar yang tumbuh
di hutan juga banyak memberi kelebihan kepada lebah kelulut seperti pokok
akasia di mana terdapat jumlah penghasilan nektar tinggi pada celahan batang
dan dahan pokok ini. Kelebihan ini menyebabkan lebah kelulut hutan dapat
mengumpul banyak hasil madu dalam masa singkat.
Rasa madu kelulut ini
sedikit masam dan mempunyai warna yang sedikit gelap. Namun warna madu
sebenarnya bergantung kepada musim bunga dan jenis tanaman yang didekati lebah
kelulut. Sebagai contoh, sekiranya pada musim bunga tersebut banyak madu daripada
bungaan berwarna lebih cerah, maka madu kelulut yang bakal terhasil akan
berwarna sedikit cerah.
Hasil utama yang boleh
diambil daripada sarang lebah kelulut adalah madu, roti lebah dan propolis.
Kelulut membina sarang mereka di dalam dahan pohon kayu. Pada kebiasaannya,
penternak kelulut akan mencari batang pokok hutan yang telah mempunyai koloni
kelulut dan memotong sarang tersebut untuk diternak serta dibiak.
Penternak akan
memecahkan koloni dengan memotong bahagian dalam batang kayu tersebut dan
memindahkan telur ratu serta sebahagian telur lebah pekerja ke dalam batang
kayu buatan sendiri bagi membentuk koloni yang baharu.
Justeru, bagi
memastikan pelaburan dalam perniagaan madu kelulut ini menghasilkan pulangan
yang tinggi, penternak akan memastikan cuaca yang sesuai bagi memastikan
perkembangan koloni yang normal serta sihat.
Malah faktor habitat
juga seharusnya sesuai dengan habitat madu kelulut supaya hanya madu yang
berkualiti sahaja bakal dihasilkan. Sebenarnya amalan meminum madu pada setiap
pagi semasa perut masih kosong didapati berkesan untuk menjaga kesihatan diri.
Kandungan madu yang
terdiri daripada glukosa, fruktosa, asid amino, sebatian fenolik, asid organik,
vitamin, mineral, lipid, enzim dan fitokimia juga menyumbang kepada kualiti
jenis madu yang ada di pasaran.
Pilih mengikut kesesuaian
bajet dan tahap kesihatan. Pilih makanan berasa sumber alami untuk
kesejahteraan kesihatan berpanjangan.
Sumber: Noor Hafizah Khairul Anuar, Utusan Online

No comments:
Post a Comment